Search This Blog

HOME KARYA ULASAN BUKU QUOTE'S RESEPI

Kisah Teladan : Berdiam Lebih Baik.

Credit.
Seorang lelaki miskin mencari nafkah hanya dengan mengumpulkan kayu api dan menjualnya di pasar. Hasil yang dia dapat hanya cukup-cukup untuk makan. Bahkan,kadang-kadang tidak mencukupi. Sungguhpun begitu,dia terkenal sebagai seorang yang penyabar.

Pada suatu hari,seperti biasa dia akan pergi ke hutan untuk mengumpul kayu api. Setelah mengambil masa yang cukup lama,dia berjaya mengumpulkan sepikul besar kayu api.

Dia memikul di bahunya sambil berjalan menuju ke pasar. Setelah tiba di pasar,kelihatan orang ramai bersesakan. Oleh kerana khuatir orang ramai akan terkena hujung kayu yang agak runcing,dia lalu berteriak, “Tepi…tepi! Kayu api hendak lalu!” Orang ramai pun memberi laluan supaya mereka tidak terkena hujung kayu itu.

Dia terus menjerit mengingatkan orang ramai. Tiba-tiba lalu seorang bangsawan yang kaya-raya di hadapannya tanpa mempedulikan peringatannya. Dia terkejut dan tidak sempat mengelak.

Akibatnya,hujung kayu api tersangkut di baju bangsawan dan telah menyebabkan baju bangsawan itu koyak. Bangsawan itu memarahinya tanpa menghiraukan keadaan si penjual kayu api. Tidak cukup dengan itu,dia kemudian membawa lelaki itu di hadapan hakim. Dia ingin menuntut ganti rugi atas kerosakan bajunya.

Setelah sampai di hadapan hakim,orang kaya itu menceritakan apa yang berlaku dan inigin menuntut ganti rugi daripada si penjual kayu api itu.

Hakim berkata, “Mungkin dia tidak sengaja.”

Bangsawan itu membantah. Lelaki itu diam seribu bahasa. Setelah membuat beberapa kemungkinan yang selalu dibantah oleh si bangsawan,akhirnya hakim mengajukan soalan kepada lelaki tukang kayu api itu.

Setiap kali hakim itu bertanya,dia tidak menjawab. Dia tetap berdiam diri. Setelah beberapa soalan yang diajukan kepadanya tidak dijawab,hakim akhirnya berkata kepada bangsawan itu, “Mungkin orang ini bisu,sehingga dia tidak boleh memperingatkanmu ketika di pasar tadi.”

Bangsawan itu agak geram mendengar perkataan hakim itu. Dia lalu berkata, “Tidak mungkin! Dia tidak bisu wahai hakim. Aku mendengarnya menjerit di pasar tadi meminta laluan kayu api. Tidak mungkin sekarang dia bisu!” Dengan nada yang beremosi. “Saya mahu dia menggantinya”,katanya.

Dengan tenang sambil tersenyum,hakim berkata, “Kalau engkau mendengar jeritannya,mengapa engkau tidak ke tepi?” Jika dia sudah memberi amaran,bererti dia tidak bersalah. Engkau yang tidak mempedulikan peringatannya.”

Mendengar keputusan hakim itu,bangsawan itu hanya diam dan bingung. Dia baru menyedari bahawa ucapannya itu menjadi senjata yang makan tuan. Akhirnya dia pun pergi. Lelaki tukang kayu api itu juga pergi. Dia selamat daripada tuduhan dan tuntutan bangsawan itu dengan hanya berdiam diri.

Dipetik daripada buku : 'Ketika Malaikat Tidak Bersayap.' (Kemilau Publika)

2 comments:

  1. bahasa boleh menjadi penyelamat dan kadangkala juga boleh memusnahkan diri :)

    ReplyDelete