Search This Blog

HOME KARYA ULASAN BUKU QUOTE'S RESEPI

Cerita Pagi Ahad.

Assalamualaikum dan selamat pagi.

*schedule post*
*taip guna phone tu yang tak teratur*


Di tingkat 3 (DEWASA)
Hari ini seperti 3 minggu yang lalu, aku lebih kerap meluangkan masa sendirian, menghabiskan sisa-sisa waktu hidup di perpustakaan Shah Alam.  Entah. Saya lebih gemar membelek,singgah dari satu rak ke rak buku sambil-sambil mencapai mana-mana buku yang dirasakan berbaloi untuk dipinjam. Atau Ahad sepatutnya saya cuma perlu goyang kaki. Tapi itulah katakan apa sahaja, aku tetap gemar ke sini. Sendirian.

Penat lelah menapak menuju ke perpustakaan di awal permulaan hari aku ketepikan dulu.
Oh,aku cuma perlu menaiki 2 bas untuk sampai ke destinasi hari ini. 
Bas pertama yang perlu aku naiki dari stesen bas berhampiran taman pperumahan yang aku diami. Hampir 20 minit lamanya aku menunggu baru kelibat bas Wawasan Sutera kelihatan.
Aku hulurkan RM2 cuma, tapi tambangnya naik 40sen untuk sampai ke stesen terakhir di Klang. 
Entah berapa lama sudah aku tidak menggunakan perkhidmatan awam yang satu ini. Jarak yang jauh ditolak dengan masa yang terbuang, disebabkan ya aku naik bans henti-henti, bas awam, yang mana bukan aku seorang yang menggunakannya,paling kurang hampir satu jam untuk sampai ke stesen terakhir. 

Sampai di Klang pula, aku terpaksa berjalan sedikit menuju ke hentian bas yang kebanyakannya melalui kawasan sekitar Shah Alam dan lain-lain. Aku terpaksa berhati-hati melangkah sambil   melihat-lihat papan tanda, melihat arah tuju bas sekian-sekian akan lalui. Untuk  sampai ke destinasi hari ini,aku perlu menaiki bas yang berhenti di Kompleks PKNS. Pun juga tambang meningkat menjadi RM2 untuk orang dewasa yang sebelum ini cuma RM1. Maklum saja sekarang semua harga naik mendadak, rakyat marhaen tersepit antara kemelut ekonomi yang tak menentu. Pasrah saja. 

Menaiki bas ke Shah Alam, aku perlu bersabar lagi. Hinggalah hampir penuh bas dengan penumpang, yang rata-ratanya warga asing, baru bas bergerak perlahan-lahan meninggalkan bandar Klang menuju ke Shah Alam. 
Aku fikir, jarak perjalanan dari rumahku,ke Klang dan dari Klang ke pusat bandar Shah Alam sama saja. Jauh!

Melepasi tol i-City,bas mula memasuki seksyen 7 kemudian menuju ke pusat bandar. Dalam bas ku lihat baik yang muda mahupun yang tua masing-masing sibuk dengan gajet canggih, sedang aku, hanya melontar pandangan jauh ke luar tingkap. Memerhati  perubahan hutan batu. 
Shah Alam masih sama seperti dulu. Seperti yang aku tahu. Tiada yang beda pada pandanganku. 
Sampai di hentian bas yang terletak berdekatan tasik Shah Alam,aku turun dari perut bas menuju ke kompleks  segera. 


Aku mesti cepat! Tak peduli pun beratnya beg yang disandang dengan tote beg yang ku kepit kemas dari awal perjalanan, berat, penuh dengan buku-buku yang ku pinjam lewat 3 minggu lalu. Nasib baik di awal pagi udara bertiup selesa, menyenangkan hati yang gelisah. Dengan langkah besar aku menuju ke arah perhentian bas yang berdekatan restoran Satay Kajang, menanti 'coaster ' yang disediakan secara percuma oleh pihak perpustakaan. Jadi untuk hari ini bermakna aku terpaksa nenaiki 3 bas! Apa-apapun aku lebih sanggup menunggu dari menggunakan khidmat teksi untuk ke sana. Alang-alang disediakan khidmat percuma, baik juga aku gunakan. 

Sebenarnya, agak lama juga aku tidak menggunakan coaster. Terakhir, aku kira tahun lepas, sebelum pun aku cuma menyuruh kakakku nenghantarku je sana dengan kereta. Disebabkan itu aku gelisah. Ketakutan. Risau agaknya jikalau sudah ditamatkan khidmat coaster, manalah tahu disebabkan tak ramai yang menggunakannya setiap hujung minggu, atau sebenarnya masih ramai kurang jelas tentangnya. 

Jam baru menunjukkan angka 9. Lebih. Aku perlu menunggu beberapa minit lagi. Coaster dari kompleks ke perpustakaan cuma ada pada jam 9,10,11 hingga 12 tengahari. Menunggu membuatkan aku tidak senang. Ibarat cacing kepanasan. Bila dalam keadaan cemas begini aku lebih suka bermundar-mandir. Menunggu sambil berdoa dalam hati moga-moga hari ini semua akan berjalan lancar.  Gusar menunggu,aku masuk ke dalam kompleks,cadangnya mahu membeli kad tambah nilai sementara coaster masih belum tiba. Selesai membeli, aku berpatah balik di ruang legar aku menunggu tadi. Penat berjalan masih tidak terasa lagi. Ku pandang sekeliling mengintai-intai sesiapa saja. Di penjuru, kelihatan seorang lelaki, paras wajahnya ,terutama matanya yang sepet,aku pasti dia yang berbaju polos hitam dan berseluar slack hitam juga, ialah seorang cina. Dia pun ku lihat seperti menunggu seseorang. Tapi dalam kekalutan perasaan yang maha hebat, aku terpaksa abaikan lelaki itu. Apa pun urusan beliau , rasanya bukan hal aku untuk difikirkan walau hati ku berbolak-balik. Entah kenapa hatiku dapat merasakan hala tuju kami sama.

Bahagian luar PRATU
Tidak lama kemudian, sampailah coaster putih yang tercatat 'Perpustakaan Raja Tun Uda' sunbangan ihsan pihak sekian-sekian di badannya. Aku tercengang seketika. Kemudian cepat-cepat bergerak ke arah coaster. Dan lelaki cina tadi lebih mendahului aku,masuk ke perut coaster lalu menutup pintu. Argh.. bukan salah beliau. Hati aku menyabarkan diri. Pantas aku membuka pintu dan masuk duduk. Terjerit kecil aku ketika bertanya satu soalan pada pakcik pemandu. Terlepas kata. Baru saat itu aku terasa penat. Cukup 2 penumpang saja,pakcik,entah apa namanya bergerak,setelah pasti tiada sesiapa yang mahu menaiki coaster. Aku duduk di bahagian kerusi kedua manakala lelaki cina itu di hadapanku. Rancak berborak dengan pemandu dengan pelat cinanya yang aku kira bahasa Melayunya boleh tahan. Sederhana. Berborak tentang bazar ramadhan,raya,Jakel,1MDB,politik yang membosankan jiwa mudaku,tak lupa tentang bas Selangorku. Aku yang di belakang seperti tidak wujud. Diam membisu seribu bahasa. Kadang-kadang, aku perasan 2 kali lelaki cina itu menoleh ke belakang,mungkin baru terperasan aku duduk dibelakang. Atau dia risau aku akan melakukan sesuatu yang tidak-tidak. Logikkah? Hahaha. Telahan aku semata-mata. Jangan risau! 

Sampai di hadapan perpustakaan, aku cepat membuka pintu,sebelum turun sempat lagi aku mengucapkan terima kasih pada pemandu. Melangkah keluar dengan pantas aku meninggalkan lelaki Cina tadi. Yang kemudian pantas memotong aku. Hahaha. Masing-masing seperti tergesa-gesa. Tidak lari perpustakaan yang ada depan mata! Kami menunggu lif. Malas rasanya untuk memungkinkan aku menaiki eskelator dengan beban beg yang melemahkan kudrat. Sambil menunggu lif sempat lagi lelaki Cina tadi berbasa-basi cuba berborak dengan aku. Kadang aku menguntum senyuman di balik kain penutup tapi dia hanya pandang aku. Kosong. Tanpa perasaan. Senyumku mati sendiri. Tak mengapa aku faham. Aku sendiri menutup separuh mukaku dengan kain hitam, mampukah  senyuman dilihat orang? Lagipun apa tujuan pakai kain hitam yang menutup separuh wajahku, kalau bukan untuk....

Dia bertanya dengan wajah kosong padaku, cuma ada kami yang menunggu lif ketika itu,macam mana aku tahu perpustakaan ada menawarkan khidmat coaster,aku cuma menjawab aku selalu menggunakannya. Dan kemudian pintu lif terbuka. Lega. Perbualan tak tamat di situ,yang mana dia yang melontarkan soalan,aku cuma mendengar dan menjawab apa yang perlu saja. Ketika di dalam lif itu lah dia sempat berseloroh, katanya 'boyfriend'ku (beg sandang kulit coklat sederhana cerah,yang tertulis perkataan 'boyfriend') kelihatan berat. Aku hanya ketawa kecil. Sekadar. Kami menuju ke tingkat yang sama,tingkat 2. Sewaktu pintu lif terbuka dia mempersilakan aku keluar dahulu, gentleman lagaknya, tapi tidak ku endahkan perlawaan itu,sebaliknya aku yang mempersilakan dia. Pasrah. Aku membontoti dia keluar lif.



Kemudian, cerita tentang aku dan lelaki Cina terhenti di situ saja. Tiada apa yang perlu dibualkan lagi. Masing-masing memutuskan untuk menyudahkan urusan sendiri.  Aku terus menuju ke kaunter memulangkan semula buku yang dipinjam. Terasa ringan beban. Lepas itu baru ku simpan beg di dalam loker berkunci  yang disediakan di luar dengan bayaran cuma 60 sen. Dan aku masuk semula.

Ini gambar tahun 2016
Aku bergerak ke arah rak paling belakang,bahagian 'Sastera',mencapai apa-apa buku yang menarik perhatian. Beberapa buah buku dalam genggaman. Aku memilih untuk duduk di kerusi berdekatan tingkap. Belakang sekali. Kebetulan ada meja kopi bulat. Mudah untukku letak buku-buku tadi. Duduk melepaskan lelah. Mood membaca belum tiba. Jasadku dibatasi rasa penat berjalan saja. Walau tirai kain mula dibolosi panahan cahaya suria,aku terasa kantuk,menyilaukan mata, perlahan-lahan mata menutup pandangan. Gelap. Mungkin juga buku yang sedang ku baca tadi membosankan atau berpunca dari perutku minta diisi. Namun,belum pun lena,aku tersedar kembali mengingatkan aku tidak banyak masa untuk bersenang di sini. Cepat aku mengambil beberapa buah buku untuk dipinjam. Baru tadi,sewaktu memulangkan buku, ku tahu rupanya untuk satu nama,boleh meminjam 10 buah buku berbanding sebelum ini cuma 5 buah saja. Dan tempoh pinjaman selama 3 minggu. Cukup lama. Aku mengambil kesempatan menggunakan nombor kad pengenalan kakakku,yang ku simpan,meminjam buku disebabkan aku sudah cukup 10 buku. Hari itu,aku meminjam 14 buah buku,kebanyakannya novel cuma 2 buku lagi buku berkaitan kekeluargaan dan agama karya Hilal Asyraf dan Ustaz Love.  Selesai urusan pinjaman, terus turun ke tingkat bawah, menunggu coaster untuk balik ke kompleks. 

Oh,ini cerita 3 minggu lepas sebenarnya. Aku cuba mengingati  sedaya yang boleh apa yang berlaku. Boleh dijadikan modal cerita dalam blog. Dalam kesamaran,teringat kembali semua walaupun ada yang aku kira terlepas pandang. 

Dan ya,3 minggu selepas itu aku di sini,masih meneruskan rutin ulang alik ke sini. Sekarang. Di tempat yang aku gelarkan rumah ke-2,perpustakaan. Sendirian lagi. Dan lagi. Tak terasa kekok,cuma boleh tawakal. Sekurang-kurangnya tak perlu aku melayan kerenah siapa-siapa , yang terpaksa atau dipaksa, mengomel kebosanan menunggu aku melunaskan urusan di sini. Aku hanya terpaksa ke sini seorang bila tiada yang mahu menemani aku. Jadi ini saja,cerita hari Ahad yang penuh liku.

Sekian.